Tidak Batal Lesen Pengimport Dan Ejen Langgar Perintah, JKDM Disiasat

LocalPolitics
3 Jun 2025 • 2:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa tidak mengambil tindakan untuk membatalkan lesen pengimport dan ejen Kastam yang telah melanggar Perintah Tetap Kastam. 

Jurucakap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung perkara itu.

Menurut beliau, EAIC telah menjalankan siasatan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan dalam proses meluluskan Borang Pengikraran Kastam bagi melepaskan barang dagangan import.

“Terdapat juga pengimport serta ejen Kastam yang telah membuat pengikraran tanpa mematuhi Perintah Tetap Kastam sedia ada,” katanya. 

Jelas jurucakap itu, suruhanjaya terbabit memutuskan untuk JKDM menjalani penambahbaikan bagi meningkatkan kawalan serta pematuhan ke atas Perintah Tetap Kastam oleh pengimport dan ejen Kastam. 

“Mesyuarat juga mengesyorkan agar JKDM mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengimport dan ejen Kastam yang didapati melanggar Perintah Tetap Kastam,” katanya. - Getaran, 3 Jun 2025