Tidak berdosa jika belum tunai haji

6 Oct 2026 • 8:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tidak berdosa jika belum tunai haji

SEBERANG PERAI – Golongan berpendapatan rendah khusus­nya B40 yang belum mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menunaikan haji tidak perlu berasa tertekan atau terbeban kerana kewajipan haji hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar berkemampuan.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, kegusaran masyarakat berhubung kemampuan golongan berpendapatan rendah untuk menunaikan haji sememangnya wajar diberikan perhatian, namun perkara itu perlu difahami berdasarkan konsep istito‘ah atau kemampuan yang ditetapkan oleh syarak.

“Allah SWT sendiri mengaitkan kewajipan haji dengan kemampuan seseorang sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 97 yang bermaksud:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji de­ngan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Prinsipnya jelas. Haji diwajibkan kepada orang yang mampu.

“Sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi, maka kewajipan haji belum tertanggung ke atasnya dan dia tidak berdosa kerana belum menunaikannya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Image from: Tidak berdosa jika belum tunai haji
MOHD. SUKKI

Mengulas mengenai penetapan baki minimum RM15,000 sebagai antara ukuran kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah haji, beliau berkata, jumlah tersebut perlu difahami dalam kerangka pengurusan dan pentadbiran, dan tidak sewajarnya dianggap sebagai satu-satunya ukuran mutlak istito‘ah seseorang menurut hukum syarak.

Katanya, kemampuan kewangan untuk menunaikan haji perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kedudukan sebenar seseorang termasuk hutang yang perlu dilunaskan, nafkah isteri dan anak-anak, tempat tinggal, keperluan asas, kos rawatan serta tanggungan lain yang wajib dipenuhi.

“Seseorang mungkin mempunyai simpanan RM15,000, tetapi jika wang itu masih diperlukan untuk melunaskan hutang atau memenuhi nafkah dan keperluan asas keluarganya, maka kita tidak boleh terus mengatakan bahawa dia telah mempunyai kemampuan sempurna untuk menunaikan haji.

“Syariat tidak memerintahkan seseorang mengejar ibadah haji dengan mengabaikan kewajipan lain yang telah sedia berada di atas bahunya,” jelasnya.

Menurut Mohd. Sukki, seseorang juga tidak diwajibkan berhutang semata-mata untuk menunaikan haji sekiranya pada hakikatnya dia belum mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi.

Dalam pada itu, beliau berkata lagi, bantuan atau subsidi kewangan yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah merupakan suatu kemudahan yang sangat baik dan wajar dihargai kerana dapat membantu mereka menunaikan ibadah haji.

Namun katanya, bantuan tersebut tidak seharusnya difahami bahawa setiap individu B40 secara automatik telah diwajibkan menunaikan haji sekalipun kedudukan kewangannya masih belum benar-benar stabil.

“Jika masih belum mampu, teruskan menabung dan membuat persediaan. Tidak perlu berasa rendah diri, malu atau tertekan hanya kerana belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Haji bukan perlumbaan untuk mendapatkan gelaran ‘haji’ atau ‘hajah’. Ia adalah kewajipan yang Allah SWT sendiri kaitkan dengan kemampuan,” tegasnya.

Beliau berkata, lebih penting seseorang Muslim memastikan hutangnya ditunaikan, nafkah keluarganya terpelihara dan keperluan asas tanggungannya tidak terabai.

“Jangan sampai kerana terlalu ingin menunaikan haji, seseorang mengabaikan hutang, nafkah isteri dan anak-anak atau keperluan asas keluarga. Islam tidak mengajar kita melaksanakan satu ibadah dengan mengabaikan kewajipan yang lain.

“Apabila Allah SWT mengurniakan kemampuan dan segala syarat kewajipan telah dipenuhi, maka sambutlah panggilan haji dengan penuh kesyukuran dan tunaikanlah kewajipan tersebut sebaik-baiknya.

“Namun selagi seseorang belum benar-benar mampu, dia tidak berdosa kerana belum menunaikan haji. Itulah keluasan dan rahmat syariat Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tidak berdosa jika belum tunai haji appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved