Tidak cukup berjimat, perlu gaji kedua

Business & FinancePersonal Finance
2 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tidak cukup berjimat, perlu gaji kedua

BERJIMAT semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mendepani tekanan kos sara hidup, sebaliknya setiap keluarga disaran mempunyai sekurang-kurangnya dua sumber pendapatan tambahan sebagai benteng kewangan.

Pendapatan mikro boleh menjadi ‘pemadam inflasi’ bagi membantu isi rumah menampung peningkatan perbelanjaan harian.

Rakyat tidak semestinya perlu memulakan perniagaan besar kerana tambahan pendapatan beberapa ratus ringgit sebulan sudah mampu memberi ruang kepada kewangan keluarga.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, inflasi tidak boleh dikalahkan dengan penjimatan sahaja, sebaliknya kita perlu menambah sedikit pendapatan.

“Walaupun hanya RM200 hingga RM400 sebulan, jumlah itu sudah boleh membantu menampung peningkatan perbelanjaan barangan dan keperluan harian,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Katanya, antara pendapatan yang boleh dilakukan termasuk menjual makanan secara kecil-kecilan, barangan terpakai atau menawarkan khidmat bebas seperti menghasilkan kandungan, menyunting video dan mereka bentuk poster.

Malah, kemahiran mudah seperti memotong rumput, membersihkan rumah, melakukan tugasan penghantaran atau menawarkan perkhidmatan kepada jiran juga boleh ditukar menjadi sumber pendapatan.

Barjoyai berkata, masyarakat tidak perlu menunggu sehingga mempunyai modal besar untuk bermula, sebaliknya boleh memanfaatkan kemahiran dan masa yang ada bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap keluarga perlu menyediakan pelan kewangan sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan dengan menyenaraikan semua perbelanjaan wajib.

“Utamakan perbelanjaan rumah, bil asas, makanan serta keperluan anak dan nilai semula perbelanjaan tidak kritikal seperti langganan aplikasi, makan di luar secara berlebihan serta perbelanjaan gaya hidup.

“Walaupun hanya mampu menyimpan RM5, RM10 atau RM20 sehari, ia boleh membantu membina penampan kewangan untuk menghadapi sebarang peningkatan kos,” katanya.

Beliau turut mencadangkan keluarga membeli barangan dapur tahan lama secara pukal serta berkongsi kos pembelian bersama jiran atau ahli keluarga bagi mendapatkan penjimatan lebih besar.

Barjoyai berkata, pendapatan mikro yang dipilih seharusnya memenuhi tiga prinsip utama iaitu mempunyai permintaan, mampu menghasilkan wang dengan pantas dan praktikal untuk dilakukan. – KOSMO! ONLINE

The post Tidak cukup berjimat, perlu gaji kedua appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved