Tidak Hadir Ke Mahkamah, Shuhada Tarik Balik Laporan Terhadap Hafidz Roshdi

12 Jul 2024 • 12:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri menarik semula laporan kes pukul terhadap aktor itu.

Shuhada atau Shu juga tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, peguam yang mewakili Shuhada, Asma Che Wan memberitahu hakim Siti Fatimah Talib bahawa anak guamnya telah menarik semula kes tersebut pada 6 Julai lalu.

Peguam yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin kemudian meminta agar sebutan kes dibawa pada tarikh 2 Ogos selepas pihak Shuhada merujuk kes tersebut ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor.

"Pihak polis dan pihak kami telah menerima laporan tentang penarikan semula kes ini. Pihak atasan perlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan kenyataan tambahan daripada pihak Shuhada.

"Hafidz dan Shuhada masing-masing telah bersetuju untuk berdamai melalui perbincangan yang dilakukan oleh peguam masing-masing. Mereka telah menyelesaikan masalah mereka dengan cara baik," kata Akberdin ketika ditemui di luar mahkamah.

image is not available

Beliau juga menafikan terdapat unsur paksaan dan provokasi terhadap Shuhada agar dia menarik semula kes ini.

"Kebanyakan kes-kes macam ini boleh diselesaikan. Mula-mula memanglah tegang, ada konfrontasi.

"Tetapi apabila masing-masing sudah tenang dan fikir masak-masak juga sedar bahawa 'no point' berbalah kerana masing-masing mempunyai anak bersama, maka kes ini boleh diselesaikan cara baik," ujarnya.

Sementara itu Hafidz berkata dia sangat gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini.

"Alhamdulillah saya rasa sangat berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan ini.

"Saya harap berita ini dapat membuka mata orang di luar sana bahawa kami sudah berdamai," katanya yang hadir ke mahkamah sambil ditemani oleh isterinya, Athira Yuhada.

Terdahulu pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada secara sengaja, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Dia dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di Rawang, pada 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – Getaran, 12 Julai 2024

Foto : Helmi Anuar