Tidak hadir mahkamah, tertuduh kes culik lelaki Palestin kena waran

2 Oct 2026 • 1:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tidak hadir mahkamah, tertuduh kes culik lelaki Palestin kena waran

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berikutan tidak hadir pada pengurusan kes dalam pertuduhan membabitkan penahanan seorang lelaki warga Palestin.

Hakim Datuk Mohd. Arief Emran Arifin mengeluarkan waran berkenaan selepas tertuduh Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31, gagal hadir pada prosiding hari ini.

Terdahulu ketika ditanya Hakim mengenai tertuduh, penjamin kepada Muhammad Iqmal memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia gagal mengesan keberadaan tertuduh selain turut menyatakan satu laporan polis telah dibuat.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Zailin Nadia Zubir turut memaklumkan sama apabila mengatakan pihak polis juga gagal mengesan tertuduh.

“Pihak polis telah ke Tanjung Sepat dan menemubual bapa penama (Muhammad Iqmal), tetapi bapanya telah memaklumkan Muhammad Iqmal tidak balik ke kampung sejak Januari lalu. Pihak kami masih berusaha untuk mengesan Muhammad Iqmal,” kata Zailin Nadia.

Selepas mendengar makluman-makluman tersebut, Hakim Mohd. Arief kemudian membatalkan jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh dan waran tangkap dikeluarkan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, tujuh lagi tertuduh dalam pertuduhan sama hadir bagi pengurusan kes itu.

Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45, Mohamad Naziree Mustapha, 45, Faizull Hardey Mohd. Isa, 46; Mohd. Zaidi Mohd Zain, 60, Nidarahayu Zainal, 40; Raibafie Amdan, 45; dan Edy Ko’im Said, 46, yang mana mereka akan berdepan dengan perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Oktober ini.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa berusia 31 tahun itu untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 September 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini pada 10 Julai tahun lalu, enam lelaki yang berdepan membabitkan kes sama dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan kerana melarikan dan mengurung mangsa sama.

Mereka ialah Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd. Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28.

Mahkamah memerintahkan Mohamad Norakmal, Mohamad Sufian dan Muhammad Al Hatim menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 29 Septemner 2022, manakala Tengku Hazarul Ismail dan Mohd Azwan masing-masing pada 11 Oktober 2022 dan 14 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa bersama-sama melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi di sini pukul 10.40 malam pada 28 September 2022.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – KOSMO! ONLINE

The post Tidak hadir mahkamah, tertuduh kes culik lelaki Palestin kena waran appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved