Tidak hadir pembentangan Bajet 2024, Hadi sudah maklum kepada speaker

Politics
16 Oct 2023 • 9:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Ketiadaan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika pembentangan Bajet 2024 Jumaat lalu, telah dimaklumkan kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul minggu lalu.

Setiausaha Akhbar kepada Hadi, Abdul Malik Abdul Razak berkata berikutan itu, pejabat Johari telah mengambil maklum mengenai perkara berkenaan.

Malik bagaimanapun tidak dapat mendedahkan lebih lanjut mengenai ketidakhadiran Hadi.

“Perkara itu (ketidakhadiran Hadi) sudah dimaklumkan kepada pejabat Yang Dipertua beberapa hari sebelum pembentangan Bajet.

“Saya tidak boleh ulas mengenai sebab apa (Hadi) tidak dapat hadir, itu lebih baik pejabat Speaker yang ulas sebab kami dah hantar surat (pemberitahuan tidak dapat hadir)," katanya kepada Scoop.

image is not available
Pada hari sama Bajet 2024 diadakan, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat menyertai Himpunan Taufan Palestin di Masjid Rusila, Marang, Terengganu - Gambar Facebook, 16 Oktober, 2023

Ketidakhadiran Hadi pada pembentangan Bajet 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat telah mengundang persoalan daripada netizen di media sosial apatah lagi beliau pada hari yang sama, dilihat menyertai Himpunan Taufan Palestin di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

Gambar tempat duduknya di dalam Dewan Rakyat, bersebelahan dengan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kosong, telah ditularkan di media sosial.

Pada pembentangan Bajet 2024, sebanyak RM393.8 bilion telah diperuntukkan, iaitu peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia. – 16 Oktober, 2023