Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Technology
22 Sep 2026 • 6:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Generasi X ialah generasi yang pada hemat saya paling banyak disuap dengan visi masa depan robot yang hidup bersama dengan manusia. Bermula dengan 1976, Star Wars menyajikan robot protokol C3P0 yang bijak dalam pelbagai protokol dan memahami 6 juta bahasa dari segenap cakerawala. R2D2 pula menjadi pembantu pemandu kapal angkasa merentas galaksi. Kemudian T800 dan T1000 pula memberikan mimpi buruk robot dari masa depan yang memburu manusia.

Robocop pula adalah gabungan robot dan manusia menghasilkan polis sempurna membanteras jenayah. Ini dinoktahkan pula dengan The Matrix yang menunjukkan masa depan pasca apokalips lebih gelap daripada Terminator kerana manusia menjadi bateri kepada robot yang mengambil alih bumi tanpa mentari.

Maka tidaklah mengejutkan insan generasi X seperti saya memang sedikit paranoid dengan kewujudan android. Beberapa minggu lalu saya diberikan peluang untuk melihat dua robot humanoid HONOR Robot A1 dan HONOR Robot D1. Kedua-duanya telah memecahkan rekod manusia dalam larian pecut dan separuh maraton. Selepas sejam bersama, saya kini lebih optimis masa depan akan lebih mirip Star Wars dan bukannya The Matrix

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

HONOR Robot A1

Robot setinggi 136.9cm ini diberikan nama timangan Vita Boy ini direka untuk digunakan di kedai untuk membantu pelanggan, menjadi pembantu di sektor hospitaliti dan juga sebarang kegiatan melibatkan interaksi dengan manusia. Saya tidak tahu mengapa robot humanoid ini hanya setinggi seorang kanak-kanak sahaja. Teori saya ialah untuk membuatkannya kelihatan tidak membahayakan seperti Terminator.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Boleh dilihat sejak era awal pembangunan robot seperti Asimo dahulu, robot yang ingin digunakan bersama manusia diberikan tubuh kecil, perwatakan comel dan diberikan kemampuan melakukan aktiviti yang menghiburkan manusia.

Ia boleh menari, berjalan, bersalaman dan juga melakukan aksi akrobatik seperti Jet Li. Ia dilengkapi kamera 2D di bahagian “dahi” dan sebuah sistem LiDAR pada bahagian muka. Kombinasi ini membolehkan ia bergerak dengan selamat dalam ruang yang sama dengan manusia.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Walaupun kecil, apabila berjalan derapan kaki Vita Boy adalah sama bunyinya dengan derapan kaki Robocop. Sama betul bunyi yang dihasilkan sehingga saya menantikan Vita Boy bertempik “surrender now or there will be trouble”. Nasib baik ini tidak berlaku.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Apa yang sedari pada robot ini ialah pek bateri pada bahagian rusuk, sistem penyejukan aktif dan pelbagai sendiri bermotor yang membolehkan ia bergerak seakan manusia sebenar. Vita Boy lebih tangkap untuk melakukan pergerakan kecil dalam pergerakan kerana mempunyai lebih banyak sendi yang berbeza dengan HONOR Robot D1.

HONOR Robot D1

Jika A1 ialah Vita Boy, nama timangan HONOR Robot D1 pula ialah Flash dengan ia berketinggian 169 cm. Ketinggian ialah keran kakinya yang lebih panjang mengingatkan saya kepada kaki Usain Bolt yang juga panjang melampau. Flash direka hanya untuk satu tujuan iaitu berlari lebih pantas berbanding Usain Bolt.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Ia memecahkan rekod 100m, 400m, 1500m dan separuh maraton yang dipegang oleh manusia serta muncul sebagai antara robot humanoid terpantas dunia dalam acara Sukan Robot Humanoid Sedunia yang berlangsung di Beijing pada Ogos lalu

Dalam larian 100m misalnya ia mencatatkan masa 8.83s berbanding rekod 9.58s yang dicatatkan Usian Bolt tujuh belas tahun yang lalu. Ia boleh berlari pada kelajuan 14.5 m/s atau 52.2 km/j. Sementara dalam larian separuh maraton pula ia mencatatkan 50:26 berbanding 56:50 yang dipegang oleh Yomif Kejelcha.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Flash memang nampak seperti seperti robot yang direka untuk kelajuan. Motor besar pada pinggang dan lutut mendominasi anatominya. Tangan hanya sekadar tangkai tanpa telapak tangan. Kewujudannya sekadar untuk mengimbangi tubuh ketika memecut seakan T1000 mengejar John Connor. Rekaan tubuh pula aerodinamik setajam pisau bagi mengurangkan geseran dan memudahkan ia membelah udara.

Walaupun berbeza secara fisiologi, Flash dan Vita Boy masih berkongsi sistem kamera di dahi dan LiDAR pada bahagian muka. Pek bater yang digunakan juga adalah sama. Sistem penyejukan aktif pada Flash juga lebih besar diletakkan pada bahagian belakang dengan saiz mirip sistem penyejukan cecair PC gaming kelas mercu.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Motor Flash hanya mempunyai kebebasan bergerak pada satu paksi sahaja tidak seperti pada Vita Boy. Maka dari sudut mobiliti in ialah robot yang dibina khusus untuk pecutan pantas dan kelajuan maksimum. Bagi yang paranoid dikejar Flash di masa hadapan, tak perlu risau kerana ia boleh dipatahkan dengan berlari secara zig zag atau melakukan banyak perubahan arah dengan pantas.

Apakah Tujuan Semua Ini?

Semua robot humanoid yang dibangunkan mempunyai satu tujuan. Mengintegrasikan teknologi telefon pintar HONOR sedia ada dan menguji beberapa lagi teknologi yang mungkin boleh diguna pakai dalam masa terdekat.

Image from: Tidak Lagi Perlu Paranoid Dengan Android Selepas Bertemu Humanoid HONOR Robot

Pek bateri silikon karbon yang kompak tapi berkapasiti besar digunakan pada kedua-dua robot. Sistem penyejukan pula berasaskan sistem penyejukan seakan kapilari pada peranti siri HONOR Magic dan komputer riba WIN. Sementara itu pelbagai sistem robotik yang diuji pula mungkin akan diintegrasikan pada produk baharu HONOR. Sistem kawalan motor yang jitu misalnya boleh digunakan untuk menjadikan sistem kamera gimbal telefon HONOR Robot menjadi lebih baik di masa depan.

Masih tiada indikator robot humanoid akan menjadi ancaman ke atas peradaban manusia dalam masa terdekat. Untuk insan generasi X, saya kini percaya dunia masa hadapan manusia bekerjasama dengan robot seperti Transformers mempunyai kebarangkalian lebih tinggi menjadi realiti.

Penafian: Advertorial dari HONOR Malaysia

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved