
Kanak-kanak kurang upaya maut akibat kebakaran di Kuching
Tidak Mampu Bergerak, Budak OKU Rentung Dalam Kebakaran Di Batu Tujuh. Seorang kanak-kanak lelaki kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah mental dan tidak boleh bergerak secara normal telah maut rentung dalam satu kebakaran yang melibatkan enam buah rumah kedai di Batu Tujuh Kota Sentosa, Kuching, Sarawak, semalam.
Mayat mangsa berusia 12 tahun telah ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak semasa melakukan kerja-kerja ‘overhoul’ selepas api berjaya dipadamkan.

Mayat ditemui di ruang tamu tingkat dua
Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Henderi Ardimansyah, mayat kanak-kanak malang itu telah ditemui di ruang tamu tingkat dua salah satu rumah kedai tersebut.
JBPM Sarawak menerima laporan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 3.30 petang dan seramai 40 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Batu Lintang dan Kota Samarahan telah dihantar ke tempat kejadian, menurut sumber.
6 buah kedai terbakar
Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati enam buah kedai sedang terbakar dan terdapat dua orang mangsa yang dipercayai masih terperangkap. Namun setelah bertemu waris, hanya seorang mangsa sahaja disahkan masih berada di dalam.
Pihak bomba mengambil masa lebih kurang dua jam setengah untuk memadamkan kebakaran tersebut. Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
