Tidak perlu memohon atau mendaftar, bantuan tunai RM100 SARA disalurkan secara automatik melalui MyKad

31/07/2025 - 11:39
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 31 Julai – Tiada sebarang permohonan atau pendaftaran diperlukan untuk bantuan tunai RM100 menerusi inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan bermula pada 31 Ogos ini kerana ia akan disalurkan secara automatik kepada warganegara Malaysia dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Justeru, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang cuba menawarkan ‘khidmat’ kononnya untuk memudahkan mereka mendapat bantuan tunai itu.
“Pemberian RM100 secara ‘one-off’ itu akan dikreditkan terus ke dalam MyKad individu dan boleh digunakan untuk pembelian keperluan harian di lebih 4,500 premis runcit berdaftar sehingga hujung tahun ini.
"Kerajaan menggunakan data MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memudahkan rakyat dan mengurangkan risiko penipuan atau scammer.
“Bantuan ini layak diterima secara automatik oleh kira-kira 22 juta rakyat dewasa yang lahir pada 2007 dan ke bawah,” katanya menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta penjelasan mengenai proses pendaftaran, kelayakan dan perbelanjaan bantuan tersebut di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Bantuan tunai tersebut adalah sebahagian inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu bagi menangani beban kos sara hidup rakyat, melibatkan peruntukan RM2 bilion.
Amir Hamzah berkata, bantuan tunai SARA boleh dibelanjakan ke atas lebih 90,000 barangan keperluan asas dalam 14 kategori seperti makanan asas, ubat-ubatan, kebersihan rumah, keperluan sekolah dan penjagaan diri.
“Antara premis yang berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA ialah seperti Giant, MYDIN, BATARAS, C-Mart dan TF Value-Mart.
“Senarai ini dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa kerana permohonan masih dibuka oleh Yayasan MyKasih,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan SARA, beliau berkata ia kini lebih seragam di seluruh negara berbanding sebelum ini, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan, apabila semua penerima hanya perlu menggunakan MyKad tanpa aplikasi atau kad tambahan.
“Setakat ini, program SARA 2025 merekodkan kadar penggunaan 93% secara purata, dengan negeri seperti Perlis mencatatkan kadar tertinggi iaitu 96%, diikuti Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah pada kadar 95%,” katanya.
Tambahnya lagi, rakyat menyambut baik penggunaan MyKad kerana lebih mesra pengguna termasuk warga emas dan golongan rentan lain serta tidak memerlukan pengendalian aplikasi digital baharu.
Dengan peluasan inisiatif ini, jumlah keseluruhan peruntukan untuk program STR dan SARA bagi 2025 meningkat kepada RM15 bilion berbanding RM10 bilion pada 2024. - DagangNews.com
featured standard


