
PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit eksekutif pementasan teater Puteri Gunung Ledang 2026, Datin Seri Tiara Jacquelina, mendedahkan belum pernah terjadi dalam sejarah pementasan teater di Malaysia apabila sistem giliran pembelian tiket sudah penuh beratur sebelum pukul 8 malam, semalam.
Tiara atau Tiara Jacquelina Eu Abdullah, 59, berkata, sambutan luar biasa itu terbukti apabila laman web jualan tiket mengalami gangguan sebaik sahaja pra-penjualan dibuka khusus buat pemegang kad Affin, malam tadi.
Katanya, jumlah penonton yang beratur secara dalam talian di laman web berkenaan mencecah lebih 900 orang dalam tempoh yang sangat singkat sebelum jam 8 malam.
“Pra-penjualan untuk pemegang kad Affin baru dibuka malam ini (semalam) dan laman web pun terganggu sedikit sebab banyak yang tengah beratur untuk dapatkan tiket. Sebelum pukul 8 malam lagi saya sempat melihat orang ramai sudah beratur sehingga 945 orang dalam talian.
“Selepas tiga hingga lima minit, giliran terus penuh. Tidak pernah terjadi untuk mana-mana persembahan teater orang berebut seperti ini” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Tiara, jumlah pembeli yang terlalu ramai secara serentak menjadi punca sistem jualan tiket itu berdepan masalah teknikal.
Bagaimanapun, Tiara menganggap situasi itu sebagai satu penghargaan kerana membuktikan naskhah PGL masih mempunyai pengikut setia.
“Ini satu pengalaman baharu untuk kami yang sudah bertahun-tahun menerbitkan teater kerana tidak pernah melihat orang ramai berpusu-pusu mendapatkan tiket sebegini. Satu penghargaan dan kami tahu orang ramai masih cintakan naskhah ini,” katanya.
Untuk rekod, pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical dijadualkan berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.






