'Tidak sangka gurauan Muhammad Aidil jadi kenyataan'

19 Nov 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tidak sangka gurauan Muhammad Aidil jadi kenyataan'
Ibu Allahyarham, Che Sharifah Che Mat Soud dan ayahnya, Ahmad Zupardi Embong menyiram pusara di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor, Kota Bharu pad Khamis. Foto kecil: Muhammad Haiqal IzhamFoto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: 'Tidak sangka gurauan Muhammad Aidil jadi kenyataan'
Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi
Image from: 'Tidak sangka gurauan Muhammad Aidil jadi kenyataan'
Jenazah Muhammad Aidil dikebumikan pada jam 2.18 petang. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Sahabat kepada Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, tidak pernah menyangka hasrat untuk mendermakan organ yang disifatkan seperti gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Muhammad Haiqal Izham Saifulmizam, 21, walaupun Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu sudah tiada, sekurang-kurangnya hasratnya untuk membantu orang lain tercapai.

Allahyarham yang juga bekas graduan Diploma Pengurusan Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang telah mendermakan tulang, hati, buah pinggang dan kornea untuk tujuan pemindahan kepada pesakit yang memerlukan.

**media[3715861]**

Ujarnya, pemergian sahabat baiknya yang dikenali sejak tiga tahun lalu itu dan bekerja bersama di sebuah kafe di sini sangat mengejutkan.

"Allahyarham seorang yang rajin, tidak berkira serta sentiasa bersedia membantu rakan-rakan.

"Dia sangat baik dan antara orang yang paling boleh diharap kalau kami perlukan bantuan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor di sini.

Jenazah Muhammad Aidil selamat dikebumikan pada jam 2.18 petang dan telah disolatkan di Masjid Mustaqim, Taman Desa Kemumin selepas solat Zuhur yang diimamkan Imam Rawatib Masjid Mustaqim, Rosli Junoh.

**media[3715862]**

Pada malam Selasa lalu, Muhammad Aidil dipercayai terlibat dalam satu kemalangan ketika dia menunggang motosikal keluar untuk berjumpa rakan di Padang Tembak.

Sementara itu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pihaknya merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham atas keikhlasan memberikan persetujuan untuk meneruskan proses pendermaan organ.

Menurut kenyataan itu, selepas kematian otak disahkan oleh Pakar Anestesiologi dan Pakar Neurosurgeri mengikut protokol perubatan ditetapkan, keluarga memberikan persetujuan penuh untuk melaksanakan hasrat Allahyarham yang juga merupakan pengikrar derma organ.

Menerusi proses berkenaan, pasukan perubatan berjaya memperoleh tulang, hati, buah pinggang dan kornea untuk tujuan pemindahan kepada pesakit yang memerlukan.

Operasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama pasukan pakar perubatan HPUSM, pasukan Tissue and Organ Procurement (TOP) HPUSM, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Hospital Raja Perempuan Zainab II serta Pusat Transplan Kebangsaan.

Sebagai penghargaan kepada penderma dan keluarga, HPUSM turut menyalakan lampu berwarna hijau di bangunan hospital pada malam Rabu sebagai simbolik proses pembedahan pendermaan organ sedang berlangsung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved