
MELAKA: Dalam meraikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, seorang suri rumah reda apabila diuji dengan banjir kilat yang melanda rumahnya di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal yang menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian selepas perkakas rumah dan barangan elektrik rosak, berikutan hujan lebat lebih dua jam petang semalam.
Idah Borhan (gambar), 48, berkata beliau sekeluarga yang ketika itu pergi beraya di rumah ibunya di Kampung Bukit Meta, Telok Mas, dimaklumkan rumah mereka dinaiki air oleh adik iparnya menerusi panggilan telefon.
“Cuaca pada tengah hari semalam panas dan saya tidak menyangka akan berlaku banjir... apabila sampai di rumah saya dapati air telah naik setinggi 0.6 meter dan tidak sempat menyelamatkan satu pun barangan termasuk dokumen penting.
“Berbeza dengan keadaan sebelum ini, saya sememangnya akan bersiap sedia mengemas barangan yang penting dan meletakkannya di lebih tempat tinggi, namun saya akur dan menganggap ini ujian di hari raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Bukit Balai di sini hari ini.
Sementara itu, Anis Syazwani Rashid, 26, berkata kejadian banjir kilat itu menyebabkan pendapatan suaminya yang mengusahakan kedai gunting rambut bersebelahan rumah mentuanya itu terjejas, selain beberapa barangan elektrik rosak.
Beliau berkata mereka sekeluarga termasuk bayinya yang berusia dua bulan, berlindung sementara di PPS Balai Raya Bukit Balai dan akan pulang ke rumah hari ini, untuk mencuci rumah keluarganya yang dipenuhi lumpur selepas air mulai surut malam tadi.
“Walaupun penat dan sedih melihat banyak barangan di kedai suami yang rosak, namun kami reda hadapi keadaan ini dan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk mengemas rumah.
“Saya juga berharap pertimbangan pihak berkenaan untuk menyalurkan sebarang bentuk bantuan kepada suami, kerana kami sekeluarga bergantung pendapatan dengan suami yang bekerja sebagai tukang gunting rambut,” katanya.
Bagi Fauziah Samat, 46, yang turut ditimpa nasib yang sama akibat kejadian banjir kilat semalam, beliau menganggap ada hikmah di sebalik ujian yang menimpa mereka, pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Beliau berkata pada mulanya dia berhasrat untuk memasak dan menjamu saudara mara datang beraya ke rumahnya semalam, namun terasa berat hati dan membatalkan niatnya sebelum melihat hujan lebat yang menyebabkan kawasan sekitar rumahnya ditenggelami air.
“Dua anak yang sepatutnya mula bersekolah hari ini terpaksa mengambil cuti untuk sama-sama membersihkan kotoran lumpur, malah banyak juga barangan lain yang terpaksa dibuang kerana telah rosak,” katanya.
