Tidak Semua Ciri AI Siri Samsung Galaxy S25 Akan Diterima Peranti Lama

TechnologyDigital
14 Feb 2025 • 11:47 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dengan siri Samsung Galaxy S25 mula dijual di Malaysia hari ini, pasti ada ramai pengguna peranti lama Samsung ingin mengetahui apakah ciri OneUI 7 yang bakal diterima pada peranti mereka. Dalam sebuah rencana yang diterbitkan oleh Samsung minggu ini, ada beberapa berita buruk yang perlu kami kongsikan bersama anda pagi ini iaitu tidak semua ciri kecerdasan buatan (AI) pada siri Galaxy S25 akan diberikan pada peranti lama.

image is not available
Now Brief

Menurut Sally, EVP dan Ketua Pasukan R&D Rangka Kerja di Samsung Mobile eXperience ciri yang memerlukan sistem Personal Data Engine (PDE) tidak akan diterima peranti lama. PDE memerlukan NPU berkuasa yang hanya wujud pada cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy.

Oleh itu antara ciri yang tidak diterima peranti lama ialah Now Bar, Now Brief dan kemampuan mencari gambar dengan lebih baik menggunakan kata kunci dalam aplikasi Gallery. PDE sentiasa menyimpan data pengguna bagi memudahkan pencarian data apabila soalan diberikan. PDE diperkenalkan menerusi siri Galaxy S25 dengan ia melakukan kesemua pemprosesan dari peranti tanpa memerlukan sambungan internet.

Ciri baharu yang akan diterima pula ialah Circle to Search yang lebih berkuasa dan integrasi Gemini dengan aplikasi terbina lebih baik. Kedua-dua ciri ini boleh diberikan kerana pemprosesan dilakukan di awanan. Ini ialah berita yang mungkin mengecewakan pemilik peranti lama Samsung tetapi seperti siri Galaxy S24 tahun lalu, tidak semua ciri AI generatif diberikan kepada peranti lama.