‘Tidur Nyawa’ Dilancar, LoQue Anggap Jantung Untuk Album Ketiga, ‘Tunjuk Langit’

EntertainmentMusic
6 Nov 2026 • 4:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Selepas hampir empat tahun memperkenalkan karya demi karya, kumpulan muzik eksperimental, monoloQue akhirnya melengkapkan perjalanan album ketiga mereka, Tunjuk Langit, menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Tidur Nyawa.

Single berkenaan menjadi karya terakhir yang diperkenalkan dalam rangkaian lagu daripada album tersebut, selepas Lagu Cinta, Mengapa Dikenang Mengapa Dipuja (lagu saduran nyanyian Herman Tino), Halimunan Abad Ke-21, Rindu Dendam Di Hari Raya, Panjat Tangga, Pujaan Hatiku dan Perempuan Kalis Peluru.

Menurut vokalis dan komposer kumpulan itu, loQue, pendekatan melancarkan lagu secara berperingkat atau dikenali sebagai teknik waterfall dipilih bagi memberikan ruang kepada setiap karya untuk mendapat perhatian pendengar.

“Teknik ini membolehkan setiap lagu dalam album diberikan peranan dan ruang yang sama. Kalau kita keluarkan keseluruhan album sekali gus, mungkin hanya beberapa lagu yang mendapat perhatian. Jadi, menerusi teknik air terjun ini, setiap lagu dapat dinikmati dengan lebih puas,” jelasnya.

Menariknya, Tidur Nyawa mempunyai kisah tersendiri yang cukup dekat dengan kehidupan peribadi loQue. Idea asal lagu itu tercetus ketika beliau mendodoikan cahaya mata sulungnya, Anggerik Dang Jelita.

Pengalaman pertama bergelar seorang bapa mendorong loQue menghasilkan sebuah lagu dodoi yang bukan sekadar menggambarkan kasih sayang terhadap anak, malah mampu menyentuh perasaan pendengar secara universal.

Sebagai seorang komposer, beliau turut mendapat inspirasi daripada lagu Anakku Sazali karya seniman legenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan kesan mendalam menerusi penceritaan dan emosinya.

Bagi loQue, keistimewaan Tidur Nyawa terletak pada maksud liriknya yang tidak terhad kepada hubungan antara ibu bapa dan anak semata-mata.

“Lirik lagu ini ditulis dengan maksud yang universal, seperti lagu-lagu monoloQue yang lain. Ia boleh dikaitkan dengan pelbagai bentuk ikatan dan kasih sayang, sama ada cinta abadi, cinta duniawi mahupun cinta akhirat,” katanya.

Antara bait lirik yang mencuri perhatian ialah:

Walau 1000 tahun lagi

Kasihku terpateri

Tidur nyawa,

Yang teristimewa

Tidur Nyawa

Penggunaan metafora klasik dalam korus lagu tersebut memberikan sentuhan puitis, seolah-olah menggambarkan sebuah janji kasih sayang yang ingin kekal merentasi masa, bahkan hingga seribu tahun lamanya.

Image from: ‘Tidur Nyawa’ Dilancar, LoQue Anggap Jantung Untuk Album Ketiga, ‘Tunjuk Langit’

Dari sudut pembikinan, proses rakaman Tidur Nyawa sebenarnya bermula sejak beberapa tahun lalu. 

Rakaman dram terlebih dahulu dilakukan oleh Bakri “Halia” Ismail sebelum loQue meneruskan rakaman bersama Kadax, yang ketika itu masih menganggotai monoloQue sebagai pemain bass.

Menurut Bakri, proses rakaman lagu berkenaan tidaklah terlalu rumit berbanding beberapa karya monoloQue yang lain.

“Perbezaan antara versi terdahulu dengan versi sekarang tidak begitu ketara. Bahagian dram masih dikekalkan dan proses rakamannya juga agak ringkas, tidak sesukar lagu-lagu monoloQue yang lain,” katanya.

Sekitar 2019, proses rakaman diteruskan dengan penambahan elemen piano dan gitar bagi mendapatkan arah bunyi yang paling sesuai. 

Bagaimanapun, penghasilan lagu itu mengambil masa agak panjang kerana loQue masih mencari pendekatan muzik yang mampu mengekalkan sifat epik serta nilai karya tersebut untuk jangka masa panjang. Komitmen terhadap pelbagai projek lain turut menyebabkan proses pembikinannya beberapa kali tertangguh.

Bagi loQue, karya seperti Tidur Nyawa memerlukan penelitian dan masa yang mencukupi sebelum benar-benar bersedia untuk dipersembahkan kepada pendengar.

Proses itu kemudiannya disambung semula apabila Loko kembali bersama monoloQue. Susunan dram yang kedengaran sedikit luar kebiasaan, termasuk penggunaan elemen off-beat, pula merupakan pendekatan yang disengajakan bagi memberikan identiti tersendiri kepada lagu berkenaan.

“Pertelingkahan antara dua dram dalam lagu Tidur Nyawa akhirnya berjaya dijahit dengan kemas. Alhamdulillah,” ujar Loko.

Bahagian gitar kemudiannya disempurnakan oleh loQue bersama Harry “Misteri”, sekali gus melengkapkan susunan muzik lagu tersebut. LoQue turut mengambil tanggungjawab mengadun keseluruhan lagu sebelum ia dimuktamadkan sebagai sebahagian daripada album Tunjuk Langit.

Tidak hairanlah loQue menganggap Tidur Nyawa sebagai ‘jantung’ kepada album ketiga mereka itu. Ini kerana gubahan muzik, bunyian serta penulisan lirik lagu berkenaan dianggap cukup mewakili identiti dan keseluruhan konsep yang ingin diketengahkan menerusi Tunjuk Langit.

Kini, Tidur Nyawa boleh didengar menerusi platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Album Tunjuk Langit turut tersedia dalam format piring hitam untuk peminat yang ingin mendapatkan koleksi fizikal.

Untuk perkembangan terkini dan maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti monoloQue menerusi platform media sosial rasmi mereka di Instagram, Facebook dan TikTok.

Ditubuhkan pada 2009 oleh Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai loQue, monoloQue merupakan kumpulan muzik yang mengetengahkan pendekatan eksperimental dengan menggabungkan elemen muzik tradisional dan kontemporari, selain penggunaan lirik yang puitis.

Meneruskan eksplorasi muzik mereka, monoloQue kini dianggotai Bakri “Halia” Ismail dan Loko sebagai pemain dram, Herda “Geroda” sebagai pemain bass, serta Harry “Misteri” dan Dino “Terkukor” yang menggalas peranan sebagai pemain gitar.

Gabungan tersebut terus membawa monoloQue meneroka bunyi dan pendekatan muzik baharu dalam usaha mengekalkan identiti tersendiri mereka. - Getaran, 6 November 2026

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved