Tidur Tak Lena Gara-Gara Teruja Undi Kali Pertama

Politics
19 Nov 2022 • 12:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Azhad Sabiq (kiri) dan Adip Sabir antara belia yang cukup teruja membuang undi buat pertama kali. - Gambar oleh Aiman Sadiq

KAJANG - Golongan belia teruja menunaikan tanggungjawab mengundi buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, di sini hari ini.

Azhad Sabiq Abdullah, 19, mengakui perasaan tersebut amat mendebarkan kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia dalam menentukan masa depan negara. 

"Ini kali pertama saya mengundi. Saya memang tak sabar dan teruja hingga tak boleh tidur lena malam tadi. Saya bangun seawal jam 6.30 pagi hari ini.

"Saya tinggal tidak jauh dari sini tapi disebabkan tak sabar nak mengundi, saya tiba lebih kurang 7.30 pagi tadi," katanya ketika ditemui Getaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Merab Luar, hari ini. 

image is not available
Azhad Sabiq Abdullah - Gambar oleh Aiman Sadiq

Sebagai pengundi muda yang didaftarkan secara automatik, beliau tidak akan mensia-siakan peluang untuk memilih wakil rakyat yang boleh memimpin negara dengan baik.

"Tempoh lima tahun itu cukup lama jadi, saya mengharapkan kerajaan yang dipilih itu boleh membawa kemakmuran dan pembangunan negara. 

“Biarlah kerajaan baharu yang dibentuk itu betul-betul mengambil kira permasalahan dan suara rakyat di pelbagai peringkat umur khususnya di Selangor yang selama ini sering dipinggirkan,” katanya. 

Bagi seorang peguam, Adip Sabir, 28, berkata, dengan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, dia berharap kerajaan baharu yang diberi mandat kelak akan mengatasi pelbagai masalah yang berlaku, terutama memperkasakan semula ekonomi.

image is not available
Adip Sabir - Gambar oleh Aiman Sadiq

Menurutnya, dia bangun seawal jam 5 pagi kerana mahu menjadi yang terawal tiba di pusat mengundi dan selain bimbang dengan faktor cuaca hari ini.

"Saya keluar awal kerana ingin selesaikan segera tanggungjawab saya bagi memudahkan SPR melaksanakan pengiraan undi jika semua pengundi direkodkan telah tiba di pusat mengundi," katanya. 

Dia yang tiba di pusat mengundi tersebut pada jam 7.45 pagi turut menggesa orang ramai supaya keluar mengundi demi Malaysia yang lebih baik.

“Mana yang boleh mengundi, eloklah laksanakan tanggungjawab penting untuk memilih pemimpin terbaik demi masa depan negara,” katanya. - Getaran, 19 November 2022