Tiga Adun PAS Perlis perlu letak jawatan, selaras lafaz bai‘ah : Idris

LocalPolitics
25 Dec 2025 • 12:10 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Perlis yang dipecat dari parti serta merta malam tadi, perlu meletak jawatan selaras dengan lafaz bai‘ah dan sumpah yang dibuat sebelum bertanding pada pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, lafaz bai‘ah itu dilafazkan dengan sukarela, penuh kesedaran, tanpa sebarang paksaan dan setiap calon memahami dengan jelas apa yang diikrarkan.

“Bai‘ah ini dilafazkan dengan penuh kesedaran, tanpa sebarang paksaan, dan setiap calon memahami dengan jelas apa yang diikrarkan.

“Calon PAS tidak perlu menandatangani perjanjian bersyarat seperti denda RM10 juta jika lompat parti atau seumpamanya. Cukuplah dengan lafaz bai‘ah,’’ katanya dalam kenyataan di media sosial malam tadi.

image is not available
Lafaz bai‘ah sebelum calon PAS bertanding pada pilihan raya.

Beliau mengulas mengenai tiga Adun PAS di Perlis yang diisytiharkan terhenti keahlian mereka serta-merta sebagai ahli parti itu berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Perkara berkenaan diumumkan oleh presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang melibatkan Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

“PAS akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta,” katanya.

Sebelum ini, Adun Perikatan Nasional (PN) di Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dengan majoriti, untuk menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Mengulas lanjut, Idris berkata, jika ada yang memilih untuk melanggar bai‘ah itu, maka ia adalah urusan dirinya dengan prinsip dan nilai yang telah diikrarkan.

“Pengalaman yang telah kita saksikan sebelum ini membuktikan bahawa bai‘ah ini benar-benar teruji, dan akibatnya jelas kepada mereka yang mengingkarinya,’’ katanya. - 25 Disember, 2025

.

The post Tiga Adun PAS Perlis perlu letak jawatan, selaras lafaz bai‘ah : Idris appeared first on Scoop.