
CYBERJAYA: Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menggesa GrabCar Sdn. Bhd. menghentikan pelaksanaan sistem penerimaan tempahan secara automatik (Auto-Accept) yang didakwa mengehadkan kebebasan pemandu e-hailing memilih tugasan.
Presidennya, M. Nathan berkata, gesaan itu susulan keputusan Tribunal Pekerja Gig yang mendapati mekanisme berkenaan melanggar Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Beliau berkata, sistem Auto-Accept sepatutnya dijadikan ciri pilihan yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan pemandu pada bila-bila masa, bukannya dilaksanakan secara paksaan.
“Tribunal sudah membuat keputusan bahawa mekanisme Auto-Accept yang membolehkan tempahan diterima secara automatik sebelum pemandu berpeluang mempertimbangkan jenis perkhidmatan dan pendapatan ditawarkan adalah satu pelanggaran.
“Jadi, pilihan penerimaan secara manual perlu diberikan kepada pemandu dan Auto-Accept boleh ditawarkan sebagai pilihan kepada mereka yang merasakan sistem itu membantu meningkatkan pendapatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nathan berkata, selain sistem Auto-Accept, dua lagi amalan Grab yang didapati melanggar akta berkenaan ialah penggantungan tempahan sementara (Temporary Booking Pause) dan pengendalian kuota pembatalan (Cancellation Quota).
Katanya, bagi Temporary Booking Pause, tribunal mendapati Grab gagal mendedahkan dengan secukupnya syarat yang mencetuskan penggantungan tempahan sementara serta kemungkinan tempoh penggantungan.
Beliau berkata, kegagalan memberikan maklumat mencukupi mengenai pengendalian kuota pembatalan, termasuk faktor penentuan kuota dan akibat apabila kuota habis digunakan, turut didapati melanggar peruntukan akta sama.
“Perkara ini bukan kecil kerana apabila kuota pembatalan tidak jelas, pemandu tidak mengetahui bagaimana sistem itu berfungsi dan boleh berdepan kesukaran mendapatkan tugasan.
“Sedangkan perkara seperti ini memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pemandu,” katanya.
Terdahulu, tribunal membenarkan tiga daripada tujuh tuntutan dikemukakan pemandu e-hailing, P. Prabu terhadap GrabCar Sdn. Bhd. dalam prosiding di hadapan Timbalan Presiden Tribunal Pekerja Gig, Dr. Suzarika Sahak.
Nathan berkata, empat lagi tuntutan membabitkan syarat menunggu lima minit, perubahan destinasi dan kesilapan sistem, penarafan penumpang serta penumpang berisiko tinggi, ketelusan algoritma dan pengiraan tambang serta mekanisme pengendalian aduan ditolak kerana dakwaan pelanggaran tidak dapat dibuktikan.
Bagaimanapun, katanya, tribunal turut mengemukakan beberapa syor penambahbaikan termasuk mempertimbangkan sistem penarafan dua hala yang membolehkan pemandu melihat penarafan penumpang sebelum menerima tempahan.
Selain itu, Grab disyorkan menjelaskan faktor utama pengiraan tambang, syarat pelarasan anggaran perjalanan serta mempertimbangkan semakan berkala terhadap ketepatan tambang dan sistem.
Dalam aspek pengendalian aduan, beliau berkata, platform itu juga perlu menambah baik akses kepada bantuan manusia khususnya dalam keadaan mendesak, selain menyediakan rujukan tiket dan penjelasan berhubung penutupan aduan.
Mengulas lanjut, Nathan berkata, pihak berkuasa perlu memperkukuh penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025, termasuk mempertimbangkan pelaksanaan audit bebas bagi memastikan ketelusan sistem pengagihan tugasan oleh platform digital.
Katanya, tuntutan TPAD bukan hanya tertumpu kepada Grab, sebaliknya semua pengendali platform perlu memastikan hak dan kebajikan pekerja gig dilindungi serta tidak dibebankan dengan sistem operasi yang tidak telus.
Sementara itu, Prabu berkata, beliau terpaksa membawa pertikaian berkenaan ke tribunal selepas lebih 200 e-mel aduan dikemukakan kepada Grab dalam tempoh lima bulan, namun tidak mendapat penyelesaian memuaskan.
Beliau berkata, tuntutan itu bukan bertujuan mendapatkan pampasan kewangan, sebaliknya mahu mendapatkan keadilan berhubung sistem operasi yang disifatkannya membebankan pemandu. -UTUSAN
The post Tiga amalan Grab langgar Akta Pekerja Gig appeared first on Utusan Malaysia.
