Pepatah Melayu ada mengatakan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Inilah yang berlaku kepada Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof, dan Khanh Thuong Nguyen- tiga bekas kakitangan Telekom Malaysia yang kini didakwa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana menyeleweng dana $20 juta (~RM 79.4 juta) menerusi subsidiari TM di Amerika Syarikat.

Mereka dituduh melakukan konspirasi penipuan wayar, penipuan wayar, dan pencurian identiti dengan ia dilakukan menggunakan penyata palsu, rekod palsu, transaksi rekaan, dan penyamaran korporat.
Mohd Hafiz ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco pada 20 April 2026 sementara Nguyen dan Mohd Yuzaimi menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 22 dan 23 April. Penipuan tiga tertuduh hanya dikesan selepas TM melakukan siasatan dalaman terhadap anak syarikat AS mereka. TM melaporkan sendiri penemuan mereka kepada pihak berkuasa AS dan tidak akan didakwa kerana kerjasama penuh yang diberikan.
Setiap pertuduhan penipuan wayar membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara sementara pertuduhan pencurian identiti membawa hukuman 2 tahun sekiranya didapati bersalah.
