
KAMPAR - Tiga beradik dan seorang wanita maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat merempuh bahagian belakang sebuah lori berhampiran Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Selasa.
Mangsa yang maut ialah Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5; Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Muhammad Azib Nasaruddin, 23, serta seorang wanita Azriyani Abdul Latif, 45.
Seorang lagi penumpang dalam kereta itu, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7, iaitu adik-beradik kepada mangsa maut, cedera parah manakala pemandu lori dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihak bomba menerima panggilan kira-kira 2 pagi berhubung insiden itu.
Mohamadul Ehsan berkata Proton Saga itu telah melanggar bahagian belakang lori muatan tanah dan terbakar di bahagian bonet kenderaan.
"Empat mangsa telah disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar oleh pasukan kecemasan EMRS.
"Terdapat mangsa yang maut telah melecur di beberapa anggota badan," katanya.
