
KOTA BHARU: Polis berjaya menangkap tiga beradik yang disyaki terbabit dengan kes samun berkumpulan menggunakan senjata kapak dan pisau, di Melor, dekat sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata ketiga-tiga beradik yang berumur 19 hingga 36 tahun itu ditahan berasingan, dua daripadanya di tepi jalan Kampung Sri Kulim, pada pukul 8.15 malam, manakala seorang lagi di hadapan sebuah kedai telefon bimbit sekitar Melor, tidak lama kemudian.
Beliau berkata suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu setelah menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di sekitar daerah ini sejak Sabtu lepas.
“Semakan mendapati dua daripadanya mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah, dan hasil ujian saringan awal, dua daripada tiga suspek adalah positif dadah,“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
“Turut dirampas, sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar. Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini,” katanya.
Katanya ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. - Bernama
