
PASIR PUTEH – Dua beradik hidup dalam keadaan serba kekurangan sejak tiga bulan lalu selepas bekalan elektrik di rumah pusaka keluarga mereka di Kampung Tasek Pauh di sini dipotong akibat tunggakan bil mencecah hampir RM1,000.
Wan Nab Wan Hamat, 57, dan adiknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Wan Aris, 53, bukan sahaja terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam, tetapi kerap menumpang tidur di rumah adik-beradik dan jiran.
Ini kerana rumah pusaka peninggalan ibu bapa yang didiami mereka sudah uzur dimakan anai-anai dan mengalami kebocoran bumbung.
Wan Nab berkata, kehidupannya semakin sukar selepas ditinggalkan suami dan kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat diterima adiknya sebanyak RM450 sebulan.
“Dengan wang bantuan itu, kami beli beras, lauk dan keperluan harian. Apabila wang itu habis, kami terpaksa ikat perut dan menunggu jiran datang menghulurkan makanan.
“Bekalan elektrik dipotong sejak tiga bulan lalu kerana kami tidak mampu melunaskan tunggakan hampir RM1,000. Bil bulanan kira-kira RM50 pun sukar untuk kami bayar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tasek Pauh.
Wan Nab memberitahu, mereka menjalani kehidupan serba daif dengan hanya bergantung kepada cahaya lilin pada waktu malam selain menumpang mandi dan mengambil air wuduk di rumah jiran.
“Selain kami berdua, saya ada empat beradik lain. Mereka tidak mampu membantu antara satu sama lain kerana masing-masing berdepan kesempitan hidup.
“Saya berharap ada insan sudi membantu melangsaikan tunggakan bil supaya kami dapat menikmati semula bekalan elektrik di rumah ini. Tidak meminta lebih, cukuplah dapat hidup seperti orang lain,” ujarnya.
Prihatin dengan nasib dua beradik itu, Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri Selising diketuai Ismail Ibrahim hadir menghulurkan bantuan bakul makanan kepada mereka baru-baru ini.
Wan Nab boleh dihubungi di talian 011-6206 9539 atau boleh terus menghulur bantuan ke akaun Bank Islam miliknya bernombor, 03090020459959966.
The post Tiga bulan hidup bergelap, makan tunggu ihsan jiran appeared first on Kosmo Digital.


