Tiga calon DUN Bandar Hilir 'bertembung' di pasar malam

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 7:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga calon DUN Bandar Hilir 'bertembung' di pasar malam
Calon DUN Bandar Hilir, Jasmine (kanan), Chau Yen (kiri) dan Mohd Nor Rashidi bertembung ketika berkempen di Pasar Malam Bandar Hilir pada Ahad.
Image from: Tiga calon DUN Bandar Hilir 'bertembung' di pasar malam
Jasmine (kanan) menyapa Mohd Nor Rashidi ketika berkempen di Pasar Malam Bandar Hilir pada Ahad.
Image from: Tiga calon DUN Bandar Hilir 'bertembung' di pasar malam
Jasmine menyapa pengundi yang menjalankan saringan kesihatan di reruai yang dibuka di Pasar Malam Bandar Hilir pada Ahad.

KOTA MELAKA – Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir menyaksikan situasi menarik apabila tiga calon yang bersaing bagi kerusi itu bertemu secara serentak ketika berkempen di Pasar Malam Bandar Hilir di sini pada Ahad.

Calon Barisan Nasional (BN), Jasmine Lok terlebih dahulu menyapa calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil sebelum kedua-duanya didatangi calon Pakatan Harapan (PH), Leng Chau Yen.

**media[3696469]**

Ketiga-tiga calon yang tiba sekitar jam 5.30 petang itu masing-masing menjalankan program kempen, termasuk menyampaikan ceramah ringkas serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar malam berkenaan.

Mohd Nor Rashidi berkata, pihaknya mengadakan ceramah mini sebagai salah satu pendekatan untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej kempen.

Beliau menyifatkan pertemuan dengan calon parti lawan itu sebagai gambaran politik matang apabila masing-masing dapat bertegur sapa tanpa sebarang provokasi.

"Kami berjumpa, bertanya khabar sesama sendiri dan siap bergambar. Inilah politik matang yang sebenarnya.

"Malah, semasa penamaan calon pada Sabtu berjalan sangat tenang," katanya.

Sementara itu, Jasmine berkata, program saringan kesihatan asas dibawakan untuk pengunjung pasar malam dan dijalankan bersebelahan dengan Bersama.

Menurutnya, program berkenaan juga membuka ruang untuk beliau mendengar sendiri keluhan dan aduan penduduk.

"Kita lakukan asas saringan demi kebaikan masyarakat setempat dan pada masa sama, saya dapat mendengar keluhan dan aduan mereka," katanya.

**media[3696470]**

Dalam pada itu, pengunjung pasar malam berkenaan berharap calon yang bertanding tidak hanya mendekati rakyat ketika musim pilihan raya, sebaliknya terus mengambil tahu masalah penduduk sekiranya diberi mandat.

Norlila Hassan, 55, yang bekerja dalam bidang pengemasan berkata, calon perlu memberi perhatian terhadap masalah setempat termasuk isu longkang tersumbat dan pembiakan nyamuk walaupun dianggap perkara kecil.

"Siapa pun yang akan dipilih nanti harap sentiasa turun padang dan mendengar sendiri keluhan masyarakat walaupun isu kecil seperti longkang, nyamuk dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, peniaga, Santi Damuri, 42, berharap calon yang memenangi pilihan raya memberi perhatian terhadap peningkatan kos sara hidup yang turut memberi tekanan kepada golongan peniaga kecil.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan sudah tidak serancak dahulu. Harga barang pula semakin naik dan kami pun susah hendak menyimpan duit.

"Memang agak sukar juga bagi peniaga seperti kami untuk bertahan dalam keadaan sekarang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved