Tiga cedera, MPV rempuh taska di Kemaman

16 Jul 2023 • 3:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

CHUKAI - Tiga termasuk seorang guru taska dan dua kanak-kanak cedera ringan selepas bangunan taska dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Taman Sri Cukai, kira-kira 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku selepas MPV yang dipandu pesara tentera itu hilang kawalan ketika mengundur keluar dari halaman rumahnya yang berhadapan taska tersebut.

Beliau berkata, insiden itu mengakibatkan guru taska tersebut luka di lutut, manakala dua kanak-kanak berusia satu dan tiga tahun cedera di bahagian muka, kepala dan belakang.

"Siasatan awal mendapati pemandu berusia 71 tahun itu hilang kawalan ketika mengundur sehingga melanggar bangunan taska yang terletak kira-kira lima meter dari rumah pesara berkenaan.

"Ketiga-tiga mangsa telah mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kemaman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama