Tiga daerah banjir lagi

Local
11 Mar 2026 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA MARUDU: Tiga daerah iaitu Kota Marudu, Paitan dan Pitas diisytiharkan dilanda bencana banjir bermula pagi Selasa, selepas beberapa  kawasan dikenal pasti terjejas akibat hujan lebat sejak Isnin malam.

Pengisytiharan bencana itu dibuat Pegawai Daerah masing-masing selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berdasarkan maklumat di lapangan serta laporan agensi berkaitan.

Di Kota Marudu, Pengerusi JPBD Meirin Sugara mengisytiharkan bencana banjir pada 10 pagi, diikuti Pengerusi JPBD Paitan Tuan Joloning Joe Majambu pada 11 pagi.

Sementara itu, Pengerusi JPBD Pitas Asdi@Mohd Faizal Hussin turut mengisytiharkan bencana banjir di daerah itu pada 2 petang.

Susulan pengisytiharan berkenaan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diarah dibuka segera bagi memantau serta menyelaras pengurusan bencana.

Operasi mengeluarkan mangsa terjejas dan menghantar mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) oleh pasukan keselamatan turut dijalankan.

Setakat laporan ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), seramai 25 penduduk terjejas banjir di Kampung Beliajung,Kota Marudu, telah dipindahkan kira-kira jam 8.55 pagi ke SMK Tandek 2 selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi menerusi talian NG999.

Di PAITAN, seramai 47 mangsa daripada 11 Ketua Isi Rumah (KIR) ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Masyarakat Kampung Batangon Darat, selepas kediaman mereka terjejas banjir, pada Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan, Leftenan Bakrin Shamsudin berkata,  PPS berkenaan mula dibuka pada jam 11 pagi bagi menempatkan penduduk dari Kampung Batangon Darat yang terjejas.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada 23 lelaki dan 16 wanita dewasa, selain 16 kanak-kanak, dua bayi serta enam warga emas.

"Setakat jam 7 malam, hanya satu PPS dibuka di daerah itu dengan keseluruhan 47 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan tersebut.

"Pemantauan dan pengurusan PPS dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Paitan bersama agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan mangsa terjaga," katanya dalam kenyataan, Selasa.

Katanya, APM Paitan akan terus memantau keadaan semasa banjir dan bersedia mengambil tindakan lanjut sekiranya keadaan memerlukan.

Terdahulu, hujan lebat bermula petang Isnin menyebabkan beberapa daerah di timur dan utara Sabah dilanda banjir termasuk Paitan.

Kali ini merupakan gelombang kedua selepas gelombang pertama baru saja berakhir pada hujung Februari.

View Original Article