
SHAH ALAM, 19 JULAI: Tiga daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang hingga jam 7 malam ini.
Amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) itu turut membabitkan Kuala Lumpur, seluruh Pulau Pinang dan Perak; Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Bentong di Pahang; Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai di Kelantan serta Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.
Menurut MetMalaysia amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
The post Tiga daerah di Selangor, KL dijangka hujan lebat hingga 7 malam appeared first on Selangorkini.
