Tiga direman buat tuntutan palsu lebih RM1 juta

26 Mar 2024 • 10:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tiga individu direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan kapal sebuah agensi penguatkuasa bernilai lebih RM1 juta.

ALOR SETAR - Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan penguatkuasa ditahan reman kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan kapal sebuah agensi penguatkuasa bernilai lebih RM1 juta.

Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga Ahad depan di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Selasa.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Noor Hidayah Mohd Noor ke atas semua suspek selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah, kira-kira jam 8 malam Isnin.

"Suspek pertama yang juga ketua sebuah pusat servis bersama suspek kedua yang juga pegawai kanan penguatkuasa dipercayai bersubahat bersama suspek ketiga yang juga pemilik sebuah syarikat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!