Tiga ditahan bantu siasatan lelaki maut ditembak depan pusat hiburan

11 May 2026 • 4:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga ditahan bantu siasatan lelaki maut ditembak depan pusat hiburan
Pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan mangsa berusia 27 tahun yang bekerja di sebuah gudang di Singapura itu serta kebarangkalian kejadian turut melibatkan kumpulan kongsi gelap.

JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga individu di sekitar bandar raya ini pada Ahad, bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang maut ditembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai pada 9 Mei lepas.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, individu itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 26 hingga 29 tahun, bagaimanapun tiada rampasan senjata dilakukan dalam penahanan itu.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, hanya seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.

Chuan Huat berkata, pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan mangsa berusia 27 tahun yang bekerja di sebuah gudang di Singapura itu serta kebarangkalian kejadian turut melibatkan kumpulan kongsi gelap.

Beliau pada masa sama menjelaskan seorang lelaki berusia 27 tahun yang cedera terkena tembakan dalam kejadian berkenaan adalah rakan kepada mangsa.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun berhubung kejadian tembakan itu.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun cedera akibat terkena tembakan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

 

 

View Original Article