Tiga individu ditahan larikan pelajar Tingkatan 5

7 Jan 2024 • 8:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan tiga individu kerana disyaki melarikan seorang remaja perempuan di hadapan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, di Kepong pada Jumaat. Gambar kecil: Noor Ariffin - Gambar hiasan

GOMBAK - Seramai tiga individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan seorang remaja perempuan di hadapan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa berusia 42 pada jam 10.36 pagi.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati wanita itu telah dimaklumkan oleh guru berhubung kejadian tersebut.

"Pelajar Tingkatan Lima itu telah dilarikan oleh seorang lelaki warga dan seorang perempuan warga tempatan dengan menggunakan sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Noor Ariffin berkata, pihaknya telah menahan tiga individu berusia 20 hingga 22 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Toyota warna putih dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Kesemua suspek telah direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Yap Ching Chua di talian 019-9969649, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.