Tiga jenazah pekerja maut di FSO Sepat dituntut keluarga

25 May 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga jenazah pekerja maut di FSO Sepat dituntut keluarga
Ahli keluarga mengiringi jenazah Muhammad Faezuan Hakim, ketika dibawa ke Kuantan selepas proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Isnin. Foto Bernama
Image from: Tiga jenazah pekerja maut di FSO Sepat dituntut keluarga
Jenazah dua daripada tiga pekerja perkapalan yang maut selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di FSO Sepat telah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Jenazah tiga pekerja perkapalan yang maut selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut di perairan Terengganu-Kelantan tengah hari Ahad, telah dituntut keluarga untuk proses pengebumian.

Tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dibawa keluar kira-kira 12.25 tengah hari untuk disolatkan di Masjid Al-Iman As-Shafie KotaSAS dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang.

Sementara jenazah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dibawa keluar kira-kira 1.40 tengah hari untuk disembahyangkan di Masjid Cenderawasih di Kuantan, Pahang dan disemadikan di perkuburan yang sama.

**media[3532439]**

Jenazah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka pula selesai  dibedah siasat dan dibawa pulang ke Melaka pada 2.50 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, Alor Gajah.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sarat mengandung tak sangka panggilan video jadi kenangan terakhir

Pada Ahad, Bernama melaporkan tiga pekerja platform minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat.

Mangsa yang cedera parah Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor, kini sedang menerima rawatan di HSNZ. - Bernama