
KUWAIT – Tiga jet pejuang Amerika Syarikat (AS) dilaporkan ditembak jatuh di ruang udara Kuwait dalam satu insiden dipercayai tembakan rakan sendiri (friendly fire), ketika terlibat dalam operasi ketenteraan bersama Israel terhadap Iran.
Menurut United States Central Command (Centcom), pesawat jenis F-15 itu “tersilap ditembak oleh sistem pertahanan udara Kuwait” ketika menjalankan misi sokongan terhadap konflik AS-Israel dengan Iran.
Kesemua enam kru pesawat berjaya melenting keluar (eject) dan telah diselamatkan dengan selamat. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Menurut laporan BBC News lagi, insiden itu berlaku ketika jet-jet berkenaan sedang terbang dalam misi sokongan udara sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat. Laporan sama menyebut bahawa pihak berkuasa AS sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti bagaimana sistem pertahanan sekutu boleh tersalah sasaran.
Anggota Keempat AS Meninggal Dunia
Dalam perkembangan sama, Centcom turut mengumumkan kematian seorang lagi anggota tentera AS yang sebelum ini cedera dalam serangan awal Iran.
Menurut kenyataan rasmi, anggota terbabit “akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan dialami”.
Sebelum ini, tiga anggota tentera AS dilaporkan maut pada Ahad akibat serangan balas Iran. Lima lagi anggota dilaporkan cedera parah. Identiti mangsa masih belum didedahkan.
Trump Akui Risiko Korban
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengakui kemungkinan berlakunya korban dalam operasi tersebut.
Dalam pengumuman operasi bersama AS-Israel pada Sabtu, Trump berkata:
“Nyawa wira Amerika mungkin terkorban, dan kita mungkin mengalami korban. Itu sering berlaku dalam peperangan.”
Pada Isnin, ketika berucap di White House, beliau berkata negara itu berkabung atas kematian anggota terbabit dan berikrar meneruskan misi tersebut.
“Kita akan teruskan misi ini dengan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk menghancurkan ancaman rejim pengganas ini terhadap rakyat Amerika,” katanya.
Trump turut menyifatkan keputusan menyerang Iran sebagai “peluang terakhir dan terbaik” untuk menghapuskan ancaman yang didakwanya tidak lagi boleh diterima.
Operasi ‘Epic Fury’
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth bersama Pengerusi Ketua Turus Bersama, Dan Caine dalam sidang media memaklumkan operasi itu dinamakan sebagai “Epic Fury”.
Operasi bermula Sabtu lalu dengan siri serangan yang menurut pihak AS telah mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei serta beberapa tokoh kanan kepimpinan Iran.
Hegseth menegaskan konflik ini “bukan perang pertukaran rejim”, namun mendakwa perubahan yang berlaku “memberi manfaat kepada dunia”.
Beliau turut menuduh Iran enggan berunding secara munasabah berhubung program nuklearnya.
Korban Meningkat Di Iran, Lubnan & Israel
Sementara itu, Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sekurang-kurangnya 555 orang terbunuh di Iran susulan serangan AS dan Israel di lebih 130 bandar.
Konflik turut merebak ke Lubnan apabila Israel melancarkan serangan terhadap sasaran Hezbollah selepas menuduh kumpulan itu melancarkan roket ke wilayahnya.
Serangan Israel di Beirut dan selatan Lubnan dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan 149 yang lain.
Di Israel pula, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas bandar Beit Shemesh.
Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku di Bahrain dan Dubai, manakala sebuah loji penapisan minyak di Arab Saudi dilaporkan terbakar.
Iran Nafikan Rundingan Baharu
Dalam perkembangan lain, Iran menafikan dakwaan Trump bahawa negara itu bersedia kembali ke meja rundingan bersama AS.
Trump sebelum ini dalam beberapa wawancara telefon menyatakan operasi bersama Israel mungkin berlarutan sehingga empat minggu, dan tidak menolak kemungkinan korban tambahan di pihak AS.
Namun pada Isnin, beliau mendakwa operasi itu kini “jauh mendahului jadual”, sambil menegaskan tentera AS mempunyai keupayaan untuk meneruskan operasi lebih lama jika perlu.
Ketegangan serantau kini terus memuncak dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan, menandakan konflik yang semakin melebar dan sukar diramal kesudahannya. – The Malaysian Update
The post Tiga Jet Pejuang AS Ditembak Jatuh Di Kuwait, Insiden ‘Friendly Fire’ Ketika Operasi Terhadap Iran appeared first on The Malaysian Update.
