Tiga kali dilanda banjir, penduduk ulang-alik PPS

6 Dec 2025 • 10:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota APM Raub membantu memindahkan salah seorang mangsa yang terlibat. Foto APM RAUB

KUANTAN - Beberapa penduduk dari Kampung Ulu Sungai, Raub terpaksa 'berulang-alik' ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kampung itu sekali lagi dilanda banjir, awal pagi Sabtu.

Banjir susulan hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu kali ketiga melanda kampung itu sejak 24 November lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub, Kapten Pertahanan Awam (PA), Samasuddin Kambade berkata, dalam kejadian banjir terbaru itu, 23 mangsa daripada enam keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Ulu Sungai yang kembali dibuka jam 7.45 pagi.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini melibatkan 10 rumah terjejas.

"Proses mengumpulkan maklumat penduduk terjejas masih dijalankan bagi mengenal pasti bilangan mangsa dan keluarga yang terlibat," katanya.

Menurutnya, kejadian itu kini dalam tindakan pelbagai agensi berkaitan termasuk polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela dan penghulu.