SHAH ALAM - Tiga kawasan di Semenanjung Malaysia dikesan berada pada tahap dua gelombang haba iaitu Pendang, Padang Terap dan Baling di Kedah setakat kemas kini jam 4 petang pada Isnin.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, sebanyak 15 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) iaitu Perlis; Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.
Selain itu, menurutnya, Timur Laut dan Utara (Pulau Pinang); Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar (Perak) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga antaranya yang terkesan berada pada tahap satu.
"Tahap gelombang haba terjadi apabila suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
"Bagi Tahap Berjaga-Jaga pula apabila suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut," katanya menerusi hantaran di Facebook.
MetMalaysia memaklumkan, maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian boleh dirujuk di laman sesawang https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ atau ikuti perkembangan di media sosial rasmi jabatan.
