
Tiga Kawasan Di Semenanjung Berada Pada Tahap Gelombang Haba
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memaklumkan mengenai status cuaca panas di Malaysia setakat hari ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, MetMalaysia berkata terdapat tiga kawasan di Semenanjung Malaysia berada Tahap 2 iaitu tahap Gelombang Haba di Pokok Sena, Pendang dan Baling di Kedah.
Dalam pada itu, 16 lagi kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga). Ia melibatkan Perlis, Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang, Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak serta Jerantut dan Raub di Pahang.
"Tahap gelombang haba menyaksikan suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
"Tahap berjaga-jaga pula memperlihatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut," kata MetMalaysia.

Orang ramai boleh merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian.

