Tiga kenalan didenda RM2,100, bertumbuk kerana tolak ajakan minum

10 Sep 2026 • 1:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga kenalan didenda RM2,100, bertumbuk kerana tolak ajakan minum

MELAKA – Tiga kenalan termasuk seorang warga emas didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam gara-gara seorang daripada mereka menolak ajakan untuk minum bersama.

Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Shalvin Choo Zuo Kai, 22, Ong Fan Lian, 40, dan Onn Hwa Chan, 73, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Tertuduh secara bersama-sama didapati bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam di sebuah kedai makan di Ayer Keroh Lama di sini pada pukul 10.30 malam, 5 September lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, salah seorang tertuduh menolak ajakan untuk minum bersama menyebabkan dia ditumbuk di muka sebelum berlaku pergelutan dan saling memukul antara ketiga-tiga mereka. Kesemua tertuduh merupakan kenalan sekampung.

Terdahulu, tiga tertuduh tersebut yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan hukuman ringan dengan Zuo Kai dan Fan Lian masing-masing memberi alasan perlu menanggung keluarga hasil pendapatan sebagai operator kilang dan kontraktor pengubahsuaian rumah.

Hwa Chan pula memberitahu, dia tidak mempunyai pendapatan dan ditanggung oleh anak-anaknya, selain menghidap penyakit prostat.

Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran diberikan terhadap kesemua tertuduh.

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh didenda RM700 atau sebulan penjara sekiranya gagal bayar. Ketiga-tiga tertuduh membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga kenalan didenda RM2,100, bertumbuk kerana tolak ajakan minum appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved