Tiga lelaki ditahan lombong emas secara haram

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 10:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara individu yang ditahan selepas Pasukan Gerakan Am menyerbu kegiatan perlombongan emas haram di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang - Foto:PGA

GUA MUSANG – Kegiatan perlombongan secara haram yang dipercayai baru beroperasi kira-kira seminggu dengan anggaran hasil emas antara lima hingga tujuh gram sehari di sebuah ladang getah di Kampung Limau Kasturi di sini, terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.

Serbuan kira-kira jam 6 petang itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan yang sedang menjalankan aktiviti melombong emas menggunakan sebuah jengkaut dan peralatan khas.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, bertindak atas maklumat, anggota risik Batalion 8 PGA telah menjalankan pemerhatian di kawasan berkenaan sebelum mengesan aktiviti perlombongan emas terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan emas secara haram.

"Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 38 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Bertam di sini untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001.

Ujarnya, dalam operasi itu pihaknya turut merampas pelbagai peralatan perlombongan termasuk sebuah jengkaut berwarna oren jenama Hitachi, mesin pam air, unit palong serta beberapa karpet dan hos air yang dipercayai digunakan dalam proses melombong emas.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM541,900," katanya.