Tiga lelaki, dua wanita dicekup khalwat di kondo mewah

16 Sep 2026 • 11:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga lelaki, dua wanita dicekup khalwat di kondo mewah
Tiga lelaki dan dua wanita ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki dan dua wanita ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di bandaraya ini, awal pagi minggu lalu.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 24 tahun dan dipercayai berhijrah ke Johor Bahru untuk bekerja sebelum memilih tinggal serumah atas alasan mahu berkongsi kerana kos sewa kediaman yang mahal.

Operasi cegah maksiat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dijalankan kira-kira jam 2.10 pagi selepas menerima aduan awam.

Menurut JAINJ, pintu kediaman itu dibuka seorang lelaki kira-kira lima minit selepas pintu diketuk.

“Pemeriksaan di dalam unit tiga bilik itu kemudian menemukan dua wanita dan dua lelaki, termasuk seorang yang sedang tidur.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pakaian lelaki dan wanita diletakkan dalam almari yang sama di bilik pertama dan kedua, manakala bilik ketiga hanya mempunyai sebuah tilam nipis,” katanya menerusi kenyataan.

JAINJ memaklumkan, hasil soal siasat mendapati mereka bekerja di pusat kecantikan, restoran dan penghantar makanan.

Menurutnya, kediaman itu mempunyai tiga bilik dan kos sewa dibayar secara kongsi.

“Empat individu mengaku tinggal di situ iaitu dua wanita dan dua lelaki dan seorang lagi lelaki pula baru datang ke rumah berkenaan untuk menumpang tidur.

“Apabila ditanya kenapa mereka duduk bercampur satu rumah, mereka jawab, sewa rumah mahal dan terpaksa berkongsi selain memberi alasan tiada kawan lelaki untuk tinggal bersama,” ujarnya.

JAINJ berkata, operasi berkenaan turut dibantu pengawal keselamatan kondominium bagi memastikan tindakan penguat kuasa berjalan lancar.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved