Tiga lelaki mengaku tidak bersalah simpan 12,789 liter diesel tanpa kebenaran

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah  simpan 12,789 liter diesel tanpa kebenaran
Lee Kok Chek (kanan) serta Hendrik Dwi Setyawan (dua dari kiri) dan Maulana Bachrudin (tiga dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyimpan barang kawalan iaitu diesel tanpa kebenaran.

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa atas pertuduhan menyimpan 12,789 liter diesel tanpa kebenaran di Taman Mount Austin, minggu lalu.

Tertuduh, Lee Kok Chek, 45, serta Hendrik Dwi Setyawan, 38, dan Maulana Bachrudin, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 12,789 liter di dalam tangki tanpa prime mover serta 89 liter di dalam tangki IBC tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Mutiara Emas 7/4, Taman Mount Austin, di sini, kira-kira jam 4.09 pagi pada 23 April lalu.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Nur Sulehan Abd Rahman, manakala Kok Chek diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.

Terdahulu, Nur Sulehan menawarkan jaminan RM100,000 terhadap Kok Chek, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh warga asing yang tidak diwakili peguam memandangkan risiko melarikan diri kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun, Mohamad Azrulsani memohon agar jaminan anak guamnya dikurangkan memandangkan lelaki itu hanya bekerja menguruskan kebun ubi dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan Kok Chek diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala dua lagi tertuduh warga asing dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru selepas jaminan tidak dibenarkan.

Tarikh 3 Jun depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes serta serahan laporan kimia oleh Jabatan Kimia.

Terdahulu, media melaporkan KPDN menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing yang disyaki menyalahgunakan kemudahan kad armada (fleet card) bagi mengumpul minyak diesel secara haram di sini baru-baru ini.

Turut dirampas lapan keping kad armada yang dipercayai digunakan suspek untuk mengisi minyak diesel secara berulang.

View Original Article