Tiga lelaki positif dadah ditahan ketika curi kabel

17 May 2026 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga lelaki positif dadah ditahan ketika curi kabel
Antara barangan yang dirampas pihak polis. Foto Polis Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS – Tiga lelaki ditahan ketika sedang leka mencuri kabel Telekom di tepi Jalan Kelab Golf, Jalan Griddle, Brinchang di sini awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 41 hingga 46 tahun tersebut berjaya diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands ketika sedang menjalankan 'Op Tapis'.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, semasa rondaan dilakukan, pihak polis telah terserempak dengan seorang lelaki yang sedang mengait kabel milik syarikat telekomunikasi berkenaan.

Menurutnya, dua lagi rakan suspek pula dikesan sedang menunggu di tepi jalan di belakang sebuah kenderaan jenis Toyota Camry berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

"Pihak polis terus bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas ketiga-tiga individu terbabit bersama kenderaan yang dinaiki mereka.

"Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan mencuri kabel dan beberapa barangan yang disyaki barangan curi serta tuib kaca yang mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 2.89 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Azli berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga individu tersebut dapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan juga kesalahan dadah.

"Kesemua individu berserta barangan kes kini ditahan dan dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.