Tiga lelaki termasuk dua beradik ditahan bersama ganja RM153,078

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 3:57 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BALIK PULAU: Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beradik dan merampas ganja seberat 49.38 kilogram bernilai RM153,078.

Operasi ini melibatkan dua serbuan berasingan di Pantai Jerejak dan Sungai Petani, Kedah yang dilaksanakan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam mengesahkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan JSJN Pulau Pinang menjalankan serbuan di Pantai Jerejak sekitar pukul 9 malam.

“Dalam serbuan di Pantai Jerejak, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 33 dan 43 tahun di dalam sebuah kereta yang disyaki sedang melakukan urus niaga penjualan dadah,“ jelas Sazalee.

Pemeriksaan lanjut menemui 65 ketulan mampat ganja seberat 49.38 kilogram dengan anggaran nilai pasaran RM153,078.

Beliau menambah berlaku pergelutan antara polis dengan kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri sebelum akhirnya berjaya ditahan.

Susulan penahanan tersebut, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 48 tahun yang bekerja sebagai nelayan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.

Lelaki ketiga ini merupakan abang kepada suspek berusia 43 tahun dan dipercayai bertindak sebagai dalang sindiket berkenaan.

Berdasarkan siasatan, sindiket ini memperoleh bekalan ganja dari negara jiran yang dibawa masuk melalui jalan darat.

Dadah kemudian diserahkan kepada orang tengah untuk diedarkan kepada rangkaian sindiket di lokasi sasaran.

Kegiatan pengedaran ganja oleh sindiket ini telah beroperasi selama dua tahun di sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri wilayah utara.

Jumlah ganja yang dirampas itu mampu memenuhi keperluan 98,700 penagih dadah.

Polis turut menyita dua kenderaan iaitu Proton Exora dan Nissan Sentra dengan jumlah nilai anggaran RM23,500.

Kesemua suspek mempunyai antara dua hingga empat rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga esok untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama