
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tiga kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi dalam kolam latihan kereta kebal di sebuah kem tentera di Temerloh pada Jumaat.
Mangsa berusia 11 hingga 13 tahun itu dihantar ke hospital untuk rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kejadian dilaporkan jam 5.55 petang sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Temerloh turut dikerah ke lokasi untuk bantuan.
"Ketika tiba di lokasi mendapati tiga mangsa yang dilaporkan lemas telah dihantar ke hospital.
"Pihak bomba melakukan pencarian di lokasi kejadian termasuk mengepam air kolam sedalam 2.1 meter selepas dimaklumkan kemungkinan terdapat seorang lagi mangsa terlibat," katanya.
Wan Mohammad Zaidi berkata, setelah pencarian dilakukan, kanak-kanak yang dikatakan hilang itu sebenarnya tidak terlibat dalam kejadian tersebut sebaliknya bermain di tempat lain," katanya.
