Tiga Mahkamah Anak Negeri baharu siap masa terdekat

LocalPolitics
16 Mar 2025 • 2:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Tiga Mahkamah Anak Negeri (MAN) baharu bakal siap dalam masa terdekat, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan sistem kehakiman adat di Sabah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Nordin Lossin berkata, mahkamah tersebut adalah Mahkamah Anak Negeri Ranau dijangka siap dalam bulan ini, diikuti oleh Mahkamah Anak Negeri Tongod pada April dan Mahkamah Anak Negeri Tamparuli selepas itu.

“Ketiga-tiga MAN ini akan mempunyai bangunan sendiri, dengan kos pembinaan ditanggung oleh kerajaan negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU),” katanya.

Beliau ditemui media selepas melawat Mahkamah Anak Negeri Sandakan pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri (Jheans) turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu, termasuk sistem digital bagi perkahwinan di MAN.

Sistem ini dijangka siap sekitar Jun atau Julai dan akan memudahkan urusan pendaftaran perkahwinan secara dalam talian.

Selain itu, Jheans juga sedang melaksanakan penjajaran semula dalam beberapa aspek, termasuk pengenalan pelan strategik baharu, penstrukturan semula sistem ketua adat, serta mengaktifkan kembali Jawatankuasa Mahkamah Rayuan Anak Negeri bagi memberi ruang kepada Mahkamah Anak Negeri yang ingin menjalankan proses guaman.

“Dalam usaha meningkatkan pendapatan, Jheans turut merancang untuk memastikan MAN yang beroperasi di pejabat daerah dan majlis perbandaran, dapat menyumbang kepada hasil kerajaan negeri melalui kutipan di bawah Kod 193.

“Ini kerana kutipan MAN sudah menjangkau lebih RM100,000 setahun,” katanya.

Langkah-langkah ini dijangka memperkukuhkan lagi peranan MAN sebagai institusi penting dalam pentadbiran dan pemeliharaan adat anak negeri di Sabah.