
JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi, di sini, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yussoff, berkata mangsa yang maut ialah penunggang, Mohammad Shahril Abdullah, 38, pembonceng, Habsah Jailani, 41 dan Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10.
“Kesemua mangsa disahkan nmaut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala pemandu lori, Faizi Mohd Fuad Tan, 30, selamat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama satu jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada jam 4.47 petang.
“Motosikal jenis Yamaha LC dan lori Mitsubishi Fuso berkenaan dipercayai dari arah yang sama iaitu Jalan Cempaka menuju ke Plaza Angsana. Bagaimanapun, hubungan ketiga-tiga mangsa tidak dapat dipastikan,” katanya. - Bernama

