Tiga maut ditembak di restoran

LocalPolitics
19 Apr 2026 • 5:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga maut ditembak di restoran
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad
Image from: Tiga maut ditembak di restoran
Tiga individu maut selepas ditembak dalam satu kejadian di sebuah restoran sekitar bandar Kota Tinggi pada jam kira-kira 1.30 tengah hari Ahad.
Image from: Tiga maut ditembak di restoran
Suspek berusia 71 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang, iaitu sekitar 200 meter dari lokasi kejadian.

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Tiga individu maut selepas ditembak dalam satu kejadian di sebuah restoran sekitar bandar ini pada jam kira-kira 1.30 tengah hari, pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, insiden melibatkan dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing berumur antara 37 hingga 63 tahun.

Jelasnya, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 71 tahun kira-kira jam 2 petang, sekitar 200 meter dari lokasi kejadian.

"Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun buatan Benelli M/Super yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah.

**media[3496138]**

"Senjata api shotgun yang dimiliki suspek mempunyai kelulusan lesen yang dikeluarkan oleh PDRM.

"Lesen senjata api dikeluarkan untuk menjaga musuh tanaman bukan untuk tujuan lain. Suspek mempunyai tanah pertanian yang melayakkan suspek memiliki senjata api," katanya lagi.

Ab Rahman menjelaskan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kes berkenaan tidak melibatkan unsur kongsi gelap atau keganasan, sebaliknya polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah hutang peribadi.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor.

**media[3496143]**