SARIKEI - Siasatan awal polis mendapati kemalangan mengorbankan tiga lelaki di KM431 Jalan Bulat, Lebuhraya Pan Borneo, di sini malam tadi dipercayai berpunca daripada tindakan sebuah kenderaan membuat pusingan P sebelum keluar secara mengejut ke laluan utama.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, kemalangan pada kira-kira 9 malam itu melibatkan dua Toyota Hilux.
**media[3572451]**
Beliau berkata, Toyota Hilux hitam dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun yang membawa dua lelaki dipercayai keluar secara mengejut ke laluan utama ketika membuat pusingan P sebelum dirempuh Toyota Hilux putih dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah Sibu menuju Sarikei.
**media[3572453]**
Akibat perlanggaran itu, mereka yang menaiki Toyota Hilux hitam maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu sebuah lagi kenderaan cedera ringan dan dirawat di Hospital Sarikei.
**media[3572452]**
Aswandy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Mustaqim menerusi talian 010-4427241 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei bagi membantu siasatan. - Bernama
**media[3572454]**






