
KOTA TINGGI: Tiga individu maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Jemaluang, berhampiran sebuah stesen minyak di Tanjung Leman, di sini petang tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata, kemalangan maut itu meragut nyawa dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan antara 20 hingga 31 tahun.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.05 petang tadi.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing bergegas ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer. Setibanya di lokasi, didapati kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
“Kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Honda City dinaiki seorang lelaki dan wanita manakala kereta Toyota Vios dinaiki oleh seorang lelaki. Anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas pemotong (rescue cutter) dan pengusung (stretcher),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayatnya diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN
The post Tiga maut kemalangan dua kenderaan di Jalan Jemaluang appeared first on Utusan Malaysia.





