
KUNAK: Tiga pasangan dicekup dalam Operasi Cegah Maksiat di dua hotel bajet di Pekan Kunak yang dijalankan oleh pihak berkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Jheains) Kunak dan dibantu anggota polis pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata ia tiga pasangan yang disyaki berkhalwat ditahan dalam operasi bermula 10 malam dan berakhir 4.30 pagi itu.
“Pelbagai alasan diberikan oleh pasangan terbabit dalam cubaan untuk melepaskan diri dari tindakan undang-undang.
“Salah seorang daripada pasangan yang ditahan terdiri daripada penjawat awam yang dipercayai telah menjalinkan hubungan tanpa ikatan sah.
“Lebih mengejutkan, seorang lelaki bertindak nekad melompat keluar dari tingkap bilik hotel apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa agama. Lelaki terbabit berjaya melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati satu pasangan mengaku telah “berkahwin kampung”, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti sah pernikahan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama,” katanya.
Tambah kenyataan itu, wanita tersebut masih berstatus isteri orang manakala satu lagi pasangan mendakwa mereka sudah bertunang dan hanya menunggu masa untuk melangsungkan perkahwinan.
Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah.
“Pihak Jheains ingin menegaskan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan dikalangan masyarakat, khususnya di daerah ini.
“Orang ramai diseru agar tidak mengambil mudah soal pergaulan bebas dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh agama,” kata kenyataan itu lagi.


