Tiga pekerja maut kontena kapal terbakar di Pelabuhan Tanjung Pelepas

7 Nov 2025 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) tengah hari tadi.

ISKANDAR PUTERI - Tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) tengah hari tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri tiba di lokasi pada 12.40 tengah hari.

Menurut JBPM Johor, kebakaran berlaku ketika kerja pemunggahan dijalankan di bahagian bawah geladak Blok 5 kapal terbabit.

"Insiden berkenaan melibatkan enam mangsa lelaki terdiri daripada tiga yang maut iaitu warga Malaysia berusia 59 tahun, warga Filipina berusia lingkungan 40-an dan warga Britain berusia lingkungan 40-an.

"Tiga pekerja cedera membabitkan warga Malaysia berusia 26 tahun dan dua warga Filipina berusia lingkungan 40-an.

"Semua mangsa cedera telah dihantar ke Hospital Gleneagles Iskandar Puteri oleh ambulans PTP,” menurut kenyataan JBPM Johor.

Menurut kenyataan itu, pemadaman awal dilakukan Bomba PTP menggunakan dua tug boat dengan sokongan operasi pemunggahan oleh Quay 118.

JBPM Johor memaklumkan Pos Kawalan Hadapan (PKH) telah dibuka di lokasi dan operasi pemadaman masih dijalankan bersama pihak PTP.

"Sembilan anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan utiliti digerakkan dalam operasi tersebut dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. - Bernama