
SHAH ALAM, 25 NOV: Tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Tangkak hari ini atas pertuduhan mencederakan rakan sekelas dalam kejadian buli yang tular.
Ketiga-tiga remaja terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arthana Sarma Rao.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan sengaja mencederakan mangsa yang juga berusia 15 tahun dengan menendang dan menumbuknya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah sekolah menengah di Taman Sri Kesang antara jam 8 pagi hingga 10.15 pagi 13 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, lapor Berita Harian.
Bagi pesalah juvana, mahkamah boleh memerintahkan mereka dilepaskan dengan amaran, dikenakan bon berkelakuan baik dengan syarat tertentu, membayar denda atau menjalani perintah khidmat masyarakat.
Mahkamah juga boleh memerintahkan pesalah dihantar ke Sekolah Henry Gurney, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan.
Berdasarkan laporan ibu mangsa, anaknya berada di dalam kelas sebelum dibelasah tiga pelajar terbabit, dengan laporan polis diterima pada jam 12.09 tengah malam, 14 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wee Hong, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,200 sementara menunggu sebutan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain fakta dan perintah pada 23 Disember depan.






