Tiga Pelajar UiTM Maut Kemalangan, Zambry Ucap Takziah – “Semoga Roh Dicucuri Rahmat”

LocalPolitics
10 Oct 2024 • 9:52 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menzahirkan ucapan takziah buat keluarga tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura, Kuala Terengganu malam tadi.

image is not available

Foto: Facebook Menteri Zambry Abd. Kadir

“Mendapat perkhabaran duka, tiga orang pelajar UiTM Dungun yang terlibat dalam kemalangan lewat petang tadi (semalam) dan telah kembali ke rahmatullah.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menempuhi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook awal pagi tadi.

image is not available

Foto: Bernama

Menurut kenyataan UiTM Cawangan Terengganu, lokasi kemalangan maut itu berlaku berhadapan kampus berkenaan melibatkan empat penuntut.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah.

image is not available

Foto: X Mynewshub

“Muhammad Ammar Danish kini dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

“Pihak universiti berdukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga mangsa,” jelas kenyataan itu.

image is not available

Foto: X Mynewshub

Tambah kenyataan itu, pihak universiti turut menzahirkan dukacita berhubung insiden tersebut, sekali gus menyediakan bantuan dan sokongan kepada kesemua keluarga mangsa nahas.

Sumber: Facebook Zamry Ab. Kadir, X UiTM Dungun