Tiga pengarah syarikat ditahan bantu siasatan kes rasuah RM15 juta

15 Feb 2023 • 6:58 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pengarah syarikat semalam disyaki terlibat kes rasuah bernilai kira-kira RM15 juta berkaitan projek pembinaan sebuah pangkalan laut di Pahang.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun berkenaan ditahan kira-kira 8.30 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.

“Lelaki pertama dipercayai seorang pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan tersebut manakala dua lagi disyaki meminta serta menerima rasuah kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri,” katanya.

Sumber berkata Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas kesemua individu berkenaan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. -Bernama